Aku masih ingat, sejak kecil lagi aku disajikan dengan
cerita Cinderella. Cerita tersebut adalah keluaran Walt Disney pada
tahun 1950. Ia mengisarkan tentang seorang anak tiri yang tersangatlah
cantik dan tersangatlah baik. Namun, angkara cemburu, dia didera secara
mental dan fizikal oleh ibu tiri dan kakak-kakak tirinya setelah ayahnya
meninggal dunia. Dalam erti kata lain, dia dilayan seperti orang gaji di rumah
sendiri dan sering diberitahu bahawa dia tidak layak menemui cinta dan
kebahagiaan.
Aku masih ingat lagi, aku (bukan aku sahaja, tetapi rasanya
semua kanak-kanak sebayaku yang menonton Cinderella waktu itu) berasa sangat
marah pada si ibu tiri Cinderella. Rasanya, semua penonton waktu itu merasakan
babak paling seronok dalam cerita tersebut adalah ketika anjing Cinderella
menolak kucing si ibu tiri keluar dari tingkap dan ketika si ibu tiri
tercengang terlopong apabila Cinderella dapat memakai kasut kaca sebagai syarat
mengahwini sang putera raja.
Itu cerita zaman kanak-kanakku.
Pabila usiaku meningkat remaja, aku disajikan pula dengan
sinetron-sinetron Indonesia yang berkisar tentang karakter si ibu tiri yang
sungguh dengki dan tamakkan harta. Si anak tiri pula dianiaya satu demi satu
episod. Aku menjadi begitu geram dengan si mak tiri tapi kugagahkan juga
menonton hingga ke penghujung episod hanya kerana satu matlamat – ingin melihat
si ibu tiri kecundang akhirnya.
Seronok apabila melihat insan yang berhati busuk menerima
balasan, walaupun sudah kujangka…si ibu tiri pasti menjadi gila dan tak keruan
akhirnya.
Itu cerita zaman remajaku.
Pabila usiaku meningkat dewasa, aku disajikan pula dengan
cerita-cerita yang lebih pelik. Al-kisah kebahagiaan si anak sering disabotaj
oleh ibunya sendiri, terutamanya dalam bab-bab memilih pasangan hidup ini. Lazimnya,
cerita sebegini pasti ada plot-plot di mana si ibu cuba memisahkan si anak
dengan kekasihnya, sehingga berlaku adegan tiga-IS itu (romantis, tragis,
menangis). Si anak akhirnya pasrah dan menyerah atas nama ketaatan pada seorang
ibu. Namun akhirnya, dia bangkit membela diri apabila mendapat tahu kebenaran
yang sangat sukar – si ibu bukanlah ibu kandung tetapi ibu tirinya yang banyak
muslihat.
Ya, ibu tiri. Yang jahat pastinya ibu tiri.
Bukan ibu angkat, bukan ibu saudara, bukan ibu tumpang,
bukan ibu ayam. Tetapi IBU TIRI.
Semua orang membenci ibu tiri, termasuk diriku.
Aku tidak tahu ketika itu, yang suatu hari nanti, aku
sendiri yang akan bergelar ibu tiri kepada dua orang kanak-kanak.
NEXT: KENAPA IBU TIRI DIKATAKAN KEJAM